Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Pembangunan kediaman setinggi 50 tingkat ke atas bukan lagi sesuatu yang mustahil di Malaysia, namun persoalannya adalah sejauh mana masyarakat dan sistem perbandaran negara benar-benar bersedia menghadapi perubahan tersebut.

Ketua Penyelaras REACH, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pembangunan kediaman bertingkat tinggi semakin menjadi keperluan terutama di bandar besar berikutan pertambahan penduduk dan kekurangan tanah.

Beliau berkata, Malaysia sendiri memiliki keupayaan teknologi pembinaan yang tinggi termasuk kejayaan membina Merdeka 118 yang merupakan antara bangunan tertinggi di dunia.

“Persoalannya bukan lagi sama ada kita mampu membina bangunan tinggi, tetapi adakah masyarakat dan sistem pengurusan bandar kita benar-benar bersedia untuk kehidupan dalam kediaman setinggi itu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, cabaran utama pembangunan kediaman ultra tinggi bukan terletak kepada teknologi semata-mata, sebaliknya melibatkan aspek pengurusan, penyelenggaraan dan sikap penghuni.

Jelasnya, pembangunan kediaman 50 tingkat ke atas sudah mula muncul di kawasan sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, namun kebanyakannya merupakan projek mewah dan bukannya rumah mampu milik.

“Dalam pembangunan sedemikian, lif menjadi keperluan asas yang amat kritikal kerana penghuni bergantung sepenuhnya kepada sistem tersebut untuk menjalani kehidupan harian.

“Jika pengurusan dan penyelenggaraan lemah atau ramai penghuni gagal membayar yuran penyelenggaraan, kerosakan lif dan gangguan perkhidmatan boleh berlaku.

“Selain itu, tahap kebersihan dan keselamatan juga mungkin terjejas sebagaimana yang berlaku di beberapa flat dan apartment lama ketika ini,” katanya.

Tambah beliau, risiko tersebut akan menjadi lebih serius sekiranya melibatkan bangunan lebih tinggi dan mempunyai kepadatan penduduk yang besar.

“Aspek keselamatan kebakaran juga perlu diberi perhatian serius terutama membabitkan keupayaan sistem pencegahan kebakaran dan kesiapsiagaan pasukan penyelamat,” katanya.

Katanya, kebimbangan penghuni sama ada mereka sempat menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku di tingkat tinggi tetap akan wujud walaupun teknologi keselamatan semakin moden.

“Persoalannya, adakah pasukan penyelamat kita benar-benar bersedia sekiranya berlaku kebakaran di tingkat 60?” katanya.

Beliau berkata, pembangunan berintensiti tinggi juga bakal memberi tekanan kepada kemudahan awam seperti trafik, parkir, pengangkutan awam serta kemudahan komuniti.

“Kesesakan bukan sahaja memberi kesan kepada penghuni bangunan berkenaan tetapi turut menjejaskan penduduk sekitar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, budaya kehidupan masyarakat juga dijangka berubah apabila taman rekreasi, ruang sosial, sekolah dan tadika terpaksa dibina di dalam bangunan akibat kekangan tanah.

“Sebagai contoh beberapa pembangunan di Singapura dan Hong Kong sudah mempunyai taman, trek jogging dan sekolah sebagai sebahagian daripada pembangunan bertingkat tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, REACH berpandangan kerajaan perlu menggubal undang-undang kecil, garis panduan dan peraturan baharu yang lebih sesuai dengan perkembangan pembangunan strata moden.

“Pengurusan kediaman bertingkat tinggi tidak boleh lagi dilakukan secara separuh masa atau sambilan seperti yang berlaku di sesetengah pembangunan strata ketika ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan matlamat sebenar pembangunan kediaman ultra tinggi sama ada benar-benar untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat atau sekadar memaksimumkan keuntungan pemaju.

“Persoalan terakhir yang perlu dijawab ialah sama ada peningkatan kepadatan penduduk secara drastik ini mempunyai agenda politik tertentu yang tersirat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast