Sesi khas Podcast #kitaputrajaya yang dikendalikan Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Wilayah Persekutuan, Fikri Aziz bersama Pengarah Pilihan Raya Keadilan Johor, Khairil Adanan dan Ketua Penerangan Bersatu Johor, Syafiq Aziz baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat terus mencetuskan perhatian meskipun perkara itu dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Perkembangan itu turut membuka ruang kepada perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama politik rentas gabungan dalam kalangan parti-parti utama di negeri berkenaan.

Johor dilihat mempunyai landskap politik yang berbeza berbanding negeri lain apabila kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan (PH) di peringkat Persekutuan tidak diterjemahkan sepenuhnya dalam pentadbiran negeri.

Di Johor, PH memainkan peranan sebagai blok pengimbang bersama Perikatan Nasional (PN) dalam berdepan kerajaan negeri sedia ada.

Perkara itu dibincangkan dalam satu sesi khas Podcast #kitaputrajaya yang dikendalikan Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Wilayah Persekutuan, Fikri Aziz bersama Pengarah Pilihan Raya Keadilan Johor, Khairil Adanan dan Ketua Penerangan Bersatu Johor, Syafiq Aziz baru-baru ini.

Menurut kedua-dua panel, kemungkinan kerjasama rentas gabungan tidak boleh ditolak sepenuhnya sekiranya wujud kesepakatan dari sudut prinsip perjuangan, pembahagian kerusi dan hala tuju politik yang jelas.

Mereka berpandangan kestabilan strategi serta kesediaan untuk berunding secara terbuka akan menjadi faktor utama dalam menentukan sama ada kerjasama sedemikian mampu direalisasikan.

Khairil turut berpandangan sebarang perbincangan perlu dimulakan dengan mencari titik persamaan antara semua pihak selain membina momentum kerjasama yang lebih dinamik demi kepentingan politik negeri dan rakyat Johor.

Dalam masa sama, kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PH bukan sesuatu yang asing dalam sejarah politik negara memandangkan kedua-dua pihak pernah berada dalam gabungan sama ketika Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Ketiga-tiga panel turut bersetuju bahawa sebarang cadangan kerjasama politik perlu dibawa ke peringkat kepimpinan tertinggi parti sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Perbincangan tersebut dilihat mencerminkan perubahan landskap politik Johor yang kini semakin terbuka dan dinamik, khususnya apabila pelbagai pihak mula melihat keperluan kepada pendekatan politik lebih strategik menjelang kemungkinan PRN diadakan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, PH dijadual mengadakan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Persada Johor International Convention Centre pada Ahad ini.

Konvensyen itu dijangka menjadi platform penting bagi pimpinan gabungan berkenaan membincangkan hala tuju politik semasa termasuk persiapan menghadapi kemungkinan PRN Johor serta strategi memperkukuhkan sokongan rakyat di negeri tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast