KUANTAN – Seorang lelaki direman empat hari selepas dipercayai mencederakan pengunjung dalam kejadian di sebuah Tokong Cina Tienhou Habu, Cameron Highlands petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintendan Azri Ramli berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.
“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama beberapa rakannya sedang mengadakan upacara keagamaan di tokong tersebut.
“Tidak lama kemudian, suspek dipercayai datang ke pekarangan tokong dan membuat bising serta mengganggu pengunjung.
“Apabila diminta beredar, suspek berang dan mengambil sebilah pedang yang berada di tokong berkenaan lalu melibas ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang cuba menahan libasan tersebut telah mengalami kecederaan pada bahagian tangan, dahi dan badan.
Menurutnya, mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata, Cameron Highlands untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Fatimah, Ipoh bagi rawatan lanjut.
“Pemeriksaan awal Pegawai Perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka dalam pada tapak tangan kiri serta beberapa luka lain pada bahagian dahi, bahu dan lengan,” katanya.
Azri berkata, berlaku pergelutan di antara pihak polis dan suspek yang berusia 39 tahun itu ketika cubaan menahannya, namun dia berjaya diberkas bersama sebilah pedang dan sarung dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit.
Katanya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Jelas Azri, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod berkaitan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan satu rekod kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















