ADUN Rawang, Chua Wei Kiat.
Chua Wei Kiat

KUALA LUMPUR – Persaraan Tan Sri Azam Baki bukan noktah kepada persoalan integriti yang membelenggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu membawa harapan besar untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.

“Walaupun Azam dilihat berani membuka siasatan terhadap beberapa tokoh berprofil tinggi, namun persepsi rakyat tercalar dengan tindakan SPRM didakwa lebih tertumpu kepada musuh politik kepada Kerajaan Madani.

“Antaranya siasatan ke atas Datuk Seri Rafizi Ramli yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan “Mafia Korporat” serta isu pemilikan saham melibatkan Azam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menegaskan, SPRM bukan senjata politik dan tidak boleh dilihat memihak kepada mana-mana pihak.

“Integriti institusi penguatkuasaan perlu dipertahankan melalui siasatan yang bebas, telus dan tanpa pilih kasih,” katanya.

Katanya lagi, siasatan terhadap Azam perlu diteruskan sekiranya terdapat bukti mencukupi.

“Malah penubuhan RCI dianggap penting bagi merungkai segala persoalan timbul demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem negara,” katanya.

Katanya lagi, beliau berharap Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dapat memulakan reformasi dalaman SPRM secara menyeluruh.

“Usaha ini penting untuk memulihkan integriti SPRM sebagai legasi penting kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast