KUALA LUMPUR – Petronas LNG Ltd memeterai perjanjian pajakan selama 20 tahun dengan MISC Group bagi lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu berkapasiti 174,000 meter padu.
Perjanjian yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Petronas LNG, Ezran Mahadzir dan Naib Presiden Aset dan Penyelesaian Gas MISC, Hazrin Hasan itu bakal memperkukuh bekalan jangka panjang sambil menyokong peralihan tenaga ke arah masa depan rendah karbon.
Perjanjian itu adalah susulan pemeteraian kontrak pembinaan kapal antara MISC dan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd pada Januari dan Februari 2026.
Kapal pengangkut LNG itu akan dibina di Shanghai, China, dengan operasi pajakan dijangka bermula antara 2029 hingga 2030.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif perniagaan gas dan maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata penambahan kapal LNG baharu itu menandakan satu lagi pencapaian penting ketika kumpulan itu terus memanfaatkan kekuatan kolektif perniagaannya untuk mencipta nilai jangka panjang merentasi rantaian nilai LNG.
“Dengan menyelaraskan cita-cita pertumbuhan kami bersama kepakaran maritim MISC, kami memperkukuh keupayaan bersepadu yang menyokong kedudukan Petronas sebagai pembekal LNG global yang dipercayai dan diyakini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kapal-kapal itu akan dilengkapi teknologi moden berteraskan kecekapan yang sejajar dengan piawaian alam sekitar dan operasi yang semakin berkembang.
Antaranya termasuk teknologi pendorongan XDF2.1 terkini, penjana aci yang meningkatkan kecekapan bahan api semasa pelayaran, serta loji pencairan semula atas kapal bagi menguruskan gas tersejat (boil-off) secara berkesan.
MISC akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek sepanjang fasa pembinaan kapal, diikuti pengoperasian serta pengurusan kapal selepas penyerahan bermula 2029.
Pendekatan bersepadu ini memastikan kesinambungan dan kebolehpercayaan operasi yang lebih tinggi daripada peringkat pembinaan hingga operasi komersial, dengan memanfaatkan pengalaman luas MISC dalam pengurusan kapal LNG.
Kerjasama itu mencerminkan fokus berterusan Petronas untuk memperkukuh daya tahan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan LNG menerusi perkongsian strategik, sambil menyumbang kepada kemajuan keupayaan tenaga dan maritim Malaysia. -MalaysiaGazette
















