KUALA LUMPUR – Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan mengingatkan semua pihak dalam Perikatan Nasional (PN) supaya tidak melupakan sejarah penubuhan gabungan itu yang diterajui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia, Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi yang dilaporkan mengkritik kemelut dalaman Bersatu serta mencadangkan parti itu keluar daripada PN.
Menurut Sanjeevan, Muhyiddin memainkan peranan besar menyatukan pelbagai pihak termasuk Pas ketika negara berdepan krisis politik dan pandemik Covid-19 sehingga berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.
Tegasnya, Pas juga perlu mengingati siapa yang membuka ruang kepada parti itu untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat selepas sekian lama berada di blok pembangkang.
“Siapa yang membuka pintu kuasa kepada Pas ketika itu? Siapa yang mengangkat mereka daripada sekadar pembangkang menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan?
“Jawapannya jelas, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Sanjeevan berkata, beliau kecewa apabila ada pihak kini mula bercakap seolah-olah PN dimiliki sepenuhnya oleh mereka sehingga cuba menguasai gabungan yang dibina bersama.
“Ada yang cuba menguasai rumah yang dibina atas titik peluh orang lain. Bila rasa kuat, mula lupa jasa. Bila sudah ada kuasa dan pengaruh, mula rasa diri paling dominan.
“Politik tanpa mengenang budi akhirnya akan memakan diri sendiri,” ujarnya lagi.
Beliau turut mengingatkan Pas supaya bermuhasabah dan tidak mengulangi corak politik lampau yang sering menyaksikan perubahan kerjasama dengan pelbagai parti.
Katanya, Pas sebelum ini pernah bekerjasama dengan Semangat 46, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat sebelum berpecah, dan kini berada dalam PN.
“Hari ini bersama PN, tetapi coraknya tetap sama. Bila hubungan baik, semuanya indah. Bila sudah rasa kuat, mula bermain percaturan sendiri,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Fakhruddin mengkritik tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin dan wakil rakyat Bersatu selain mendakwa parti itu kini berdepan kemelut dalaman.
Beliau turut mencadangkan supaya Bersatu mempertimbangkan untuk keluar daripada PN jika konflik dalaman terus berlarutan.
Bagaimanapun, Sanjeevan menegaskan ancaman terbesar dalam politik bukan datang daripada musuh luar tetapi daripada rakan sendiri yang melupakan pihak yang pernah membantu ketika susah.
“Rakyat melihat. Ahli akar umbi juga melihat. Kesetiaan bukan diuji ketika susah sahaja, tetapi ketika sudah ada kuasa dan pengaruh.
“Jangan sampai terlalu ghairah mahu menguasai akhirnya meruntuhkan rumah yang sama-sama dibina,” katanya. -MalaysiaGazette
















