KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal menyerahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk membuat keputusan sama ada skuad hoki negara disenaraikan semula dalam program Road To Gold (RTG).
Namun Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui KHM perlu realistik dengan kedudukan semasa Speedy Tigers pada masa ini di mana RTG bermatlamat utama untuk memburu pingat emas Olimpik pertama negara.
Justeru katanya, KHM tidak bercadang memberi tekanan kepada kerajaan untuk memasukkan hoki ke dalam senarai dalam teras RTG ketika ini sebaliknya memahami hala tuju program berprestasi tinggi itu.
Subahan turut sedar terdapat sukan lain yang lebih memerlukan sokongan RTG berdasarkan potensi semasa untuk menghadiahkan emas Olimpik kepada negara.
“Saya rasa itu bukan keputusan kami kerana ia terletak di bawah kementerian dan pihak berkuasa berkaitan. Kami faham RTG ini diwujudkan untuk memburu pingat emas Olimpik pertama negara.
“Saya mahu bersikap praktikal dan realistik. Buat masa ini agak mustahil untuk hoki memenangi emas Olimpik, jadi bantuan sedia ada ini sudah memadai dan kita perlu bergerak selangkah demi selangkah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Menandatangani kontrak penajaan baharu bersama KHM dan Tenaga Nasional Berhad di Leo Moggie Convention Centre (LMCC) di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.

Pada 31 Oktober 2023, RTG mengumumkan pengguguran atlet daripada program itu termasuk pasukan hoki lelaki kebangsaan yang gagal mencapai sasaran pingat emas yang mereka sendiri tetapkan di Sukan Asia Hangzhou 2022 sehingga ranking mereka telah jatuh ke-12.
Mac lalu, skuad hoki negara layak ke Piala Dunia Hoki 2026 yang akan berlangsung di Belanda dan Belgium 15 hingga 30 Ogos ini.
Ranking Malaysia ketika ini berada ke-13 dunia.
“Insya-Allah RTG akan mengadakan mesyuarat pada 19 Mei ini. Salah satu perkara yang akan dibincangkan adalah bagaimana kita mahu menyesuaikan program ini dengan bajet yang diperuntukkan selain melihat landskap sukan negara dengan lebih luas,” katanya.
Menurut Taufiq, jawatankuasa RTG juga tidak mahu terlalu tertumpu kepada sukan tertentu sahaja, sebaliknya bersedia membuka ruang kepada lebih banyak sukan yang berpotensi membantu Malaysia merealisasikan impian emas Olimpik di Los Angeles 2028. – MalaysiaGazette

















