Yayasan Ar Riduwan menyumbang sebanyak 30 kerusi roda kepada Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, Johor baru-baru ini.

KULAI – Yayasan Ar Riduwan (YAR) terpanggil menghulurkan bantuan apabila menyumbang 30 kerusi roda kepada Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini bagi mengurangkan keperluan mendesak penggunaan kerusi roda.

Ketua Pegawai Operasi YAR, Luqmanul Hakim Muhamad Riduwan berkata, sumbangan keseluruhan yang berjumlah RM30,000 itu merupakan kali keempat disalurkannya kepada HTSMTI selepas fasa pertama bermula Ogos tahun lalu.

Selain kerusi roda, bantuan juga melibatkan sumbangan katil, almari, loker dan kelengkapan perabot berjumlah RM60,000.

Menurut beliau, tujuan utama sumbangan itu bagi membantu pihak hospital menggantikan peralatan yang telah rosak serta menampung peningkatan keperluan pesakit yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Inisiatif sumbangan dilaksanakan di bawah Kluster Kebajikan Kesihatan YAR baru-baru ini di mana bantuan sedemikian akan diteruskan secara berterusan.

“Malah, pihak YAR sedang dalam perancangan untuk menyalurkan sumbangan lain kepada hospital berkenaan termasuk penyediaan penghawa dingin serta urusan pembelian ambulans bagi kegunaan HTSMTI,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, antara sumbangan yang pernah disalurkan oleh YAR adalah pemberian 10 kotak lampin pakai buang untuk Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar serta sumbangan katil kepada seorang individu bagi kegunaan anaknya yang terlibat dalam kemalangan.

Sepanjang Ramadan lalu, YAR turut mengagihkan sebanyak 8,000 bungkusan bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program Sumbangan Bubur Lambuk.

Program itu dilaksanakan menerusi dua fasa dengan memberi fokus kepada petugas kesihatan, pesakit serta waris yang berada di sekitar hospital termasuk balai polis terpilih.

Mengulas lanjut, Luqmanul Hakim berkata, YAR berharap agar sumbangan yang disalurkan dapat membantu pesakit-pesakit asnaf serta hospital-hospital terpilih setiap tahu di samping meringankan beban mereka yang benar memerlukan.

Jelas beliau, perancangan YAR selepas ini adalah untuk meluaskan lagi gerak kerja kebajikan kesihatan ke negeri-negeri lain di seluruh negara. “YAR juga komited untuk terus menyantuni pesakit dan hospital melalui sumbangan seperti kerusi roda, peralatan perubatan, dan bantuan kesihatan lain.

“Pada masa yang sama, kami juga ingin menarik lebih ramai sukarelawan berdaftar serta penyumbang tetap untuk bersama-sama memperkukuh Kluster Kebajikan Kesihatan YAR,” katanya.

YAR yang berdaftar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri mula beroperasi tahun lalu dengan misi memberi bantuan kepada kluster kesihatan, komuniti dan pendidikan- MalaysiaGazette

Yayasan Ar Riduwan menyumbang sebanyak 30 kerusi roda kepada Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai, Johor baru-baru ini.

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast