Pelbagai bahagian hidupan liar berjaya dirampas polis menerusi serbuan di sebuah premis antik di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

KUALA LUMPUR – Lebih RM5.3 juta nilai pelbagai bahagian hidupan liar berjaya dirampas polis menerusi serbuan di sebuah premis antik di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Operasi bermula 9.45 pagi itu dijalankan oleh Bahagian WCB /PSK, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).

Komander WCB/ PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang juga merupakan pemilik premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemukan 16 batang gigi taring disyaki daripada spesies babi hutan, sembilan batang gigi disyaki spesies harimau, 10 batang gigi disyaki spesies beruang.

“Selain itu, turut ditemui 13 biji batu landak dan 394 keping sarang burung disyaki spesies burung walet seberat 2,243 gram.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku membeli sarang burung walet dan batu landak daripada pembekal di Lintas, Sabah tanpa lesen atau permit sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki tempatan merupakan pemilik premis ditahan.

Tambahnya, bahagian hidupan liar dilindungi itu dipercayai diperoleh daripada penduduk kampung di Tawau pada harga rendah sebelum dijual untuk pasaran tempatan sekitar Kota Kinabalu.

“Kesemua barangan tersebut disimpan tanpa permit daripada pihak berkuasa dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5.32 juta.

“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Berikutan itu, beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast