ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 220.6 arah utara, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Alor Gajah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa lelaki tempatan berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian.

“Motosikal mangsa kemudian melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Hino yang berada di lorong kiri lebuh raya menyebabkannya tercampak ke lorong kecemasan.
“Akibatnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-538 2353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















