Zainuddin Adan

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mendesak kerajaan Persekutuan agar segera membentang dan melaksanakan Akta Pendanaan Politik tanpa sebarang penangguhan.

Timbalan Ketua Pejuang Johor, Zainuddin Adan berkata, reformasi itu tidak boleh terus dijadikan bahan retorik politik semata-mata sedangkan rakyat semakin hilang keyakinan terhadap integriti sistem pentadbiran negara.

Tegas beliau, Akta Pendanaan Politik yang bakal diperkenalkan mestilah benar-benar menyeluruh dan berkesan.

“Antaranya termasuk mewajibkan pengisytiharan identiti penderma bagi sumbangan melebihi jumlah tertentu demi memastikan ketelusan penuh dalam pembiayaan politik.

“Selain itu, sebuah badan pemantauan bebas dan autonomi perlu diwujudkan bagi mengawasi dana politik tanpa campur tangan pihak eksekutif supaya proses penguatkuasaan dapat dijalankan secara adil dan bebas,” katanya dalam kenyataan.

Dalam masa yang sama katanya, Pejuang Johor menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak seharusnya dibenarkan membiayai aktiviti politik.

Jelasnya, ini kerana perkara tersebut mewujudkan percanggahan kepentingan yang serius serta membuka ruang kepada penyalahgunaan pengaruh dan dana awam.

“Wang rakyat tidak boleh digunakan untuk memperkukuhkan kepentingan politik mana-mana pihak,” tegasnya.

Pejuang Johor juga menggesa Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi menjadikan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing sebelum pilihan raya.

“Saya cadangkan KPI utama kementerian supaya reformasi integriti negara dapat dilaksanakan dengan serius dan tidak lagi tertangguh akibat pertimbangan politik jangka pendek.

“Hari ini, golongan muda dan kelas profesional di Malaysia semakin menolak budaya politik lama yang berasaskan naungan, pengaruh wang dan kepentingan kelompok tertentu.

“Mereka mahukan sebuah negara yang dipimpin berdasarkan merit, integriti dan ketelusan. Masa depan Malaysia tidak boleh terus dicorakkan oleh politik wang,” ujarnya.

Kepimpinan negara mesti dibina melalui khidmat bakti, kejujuran dan amanah kepada rakyat, katanya lagi.

Jelasnya, Pejuang Johor memandang serius kelewatan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik yang sehingga kini masih belum direalisasikan walaupun telah lama dijanjikan kepada rakyat.

Kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said yang mengakui bahawa RUU tersebut masih tertangguh menimbulkan persoalan besar terhadap tahap komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi serta agenda integriti negara yang amat diperlukan pada masa ini.

Dakwanya, dalam keadaan ekonomi negara yang masih berdepan cabaran pemulihan pada 2026, budaya ‘duit gelap’ atau dark money dalam politik terus menjadi ancaman serius kepada kestabilan pentadbiran negara.

Pejuang Johor menegaskan bahawa Malaysia tidak lagi mampu menanggung kos besar akibat politik wang yang berakar sejak sekian lama.

“Ketiadaan undang-undang yang jelas berkaitan pendanaan politik telah membuka ruang kepada amalan kronisme, rasuah sistemik dan penyalahgunaan kuasa yang akhirnya memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Selama berdekad-dekad, sistem pembiayaan politik yang tidak telus telah menjadi antara punca utama kerosakan dalam tadbir urus negara,” katanya.

Tambahnya, apabila sumber kewangan parti politik tidak dipantau secara terbuka, keputusan pentadbiran dan pemberian kontrak kerajaan berisiko dipengaruhi oleh kepentingan politik serta hubungan tertentu, bukannya berdasarkan merit, kecekapan dan kepentingan rakyat.

Jelasnya, situasi itu menyebabkan banyak projek pembangunan menghadapi kelewatan tidak munasabah, peningkatan kos melampau dan ketirisan yang akhirnya membebankan wang pembayar cukai.

Pejuang Johor menegaskan bahawa setiap ringgit yang masuk melalui saluran ‘duit gelap’ politik sebenarnya adalah wang dirampas daripada peluang rakyat untuk menikmati kemudahan asas lebih baik seperti sekolah berkualiti, hospital yang lengkap, jaringan pengangkutan cekap dan pembangunan masyarakat lebih seimbang.

“Rakyat berhak mengetahui siapa yang membiayai parti politik dan bagaimana dana tersebut digunakan kerana parti politik merupakan entiti yang menentukan hala tuju pentadbiran serta pengurusan kekayaan negara,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast