Datuk Seri Jamal Md Yunos.

SHAH ALAM – UMNO Bahagian Sungai Besar menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Himpunan Mega Daulat Tuanku anjuran Pemuda Pas Selangor yang dijadulkan berlangsung di sini, 16 Mei ini.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, pihaknya menyokong tidak berbelah bahagi kepada sebarang usaha untuk mempertahankan institusi diraja daripada terus dihina.

“Sebagai pemimpin Melayu Islam, saya konsisten mempertahankan kemuliaan Institusi DiRaja khususnya di Selangor yang cuba dirobek kumpulan cauvininis.

“Penderhakaan kumpulan ini tidak boleh dibiarkan, apatah lagi dimulakan seorang wakil rakyat daripada DAP yang berani menyanggah titah Tuanku pada sidang Dewan Negeri Selangor.

“UMNO Sungai Besar tidak boleh bertoleransi dengan sikap biadab terhadap Sultan Selangor dan cuba mempertikaikan larangan Tuanku mengenai penternakan babi di negeri ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu, kata Jamal, pihaknya sedia menggerakkan kira-kira 300 ahli UMNO Sungai Besar untuk menyertai perhimpunan aman itu dan sedia mengetepi perbezaan politik.

“UMNO Bahagian Sungai Besar akan menyediakan sekurang-kurangnya lima bas bagi membawa penyokong dari kawasan Sungai Besar ke Shah Alam pada Sabtu nanti.

“Kehadiran kami bukan bermotifkan politik, sebaliknya sebagai manifestasi sokongan rakyat terhadap kedaulatan institusi Diraja yang perlu dihormati semua pihak.

“Himpunan ini adalah tanda kebersamaan rakyat yang tidak mahu institusi raja dihina atau dipermainkan oleh mana-mana pihak,” katanya.

Himpunan Mega Daulat Tuanku dijangka menghimpunkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta rakyat dari seluruh Selangor bagi menyatakan pendirian mempertahankan maruah dan kedaulatan institusi Diraja di negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast