GEORGE TOWN – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyasarkan pembinaan tiga lagi projek rumah penginapan sementara percuma, Anjung Kasih di hospital Segamat, Johor; Kuala Terengganu dan Pulau Pinang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, pihaknya ketika ini menerima permohonan daripada beberapa hospital bagi tujuan penubuhan fasiliti berkenaan.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 19 Anjung Kasih YKN telah diwujudkan di seluruh negara, sekali gus memberi kemudahan kepada waris pesakit yang sedang dirawat di wad hospital.
“Di Pulau Pinang sendiri sudah ada dua iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ), namun kita masih menerima permohonan daripada hospital lain di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying bersama Pengarah Hospital Pulau Pinang (HPP), Dr Goh Hin Kwang ke Anjung Kasih YKN di Jalan Tull di sini, hari ini.
Tambah Nordina, kos pembinaan setiap Anjung Kasih dianggarkan antara RM1 juta hingga RM1.5 juta bergantung kepada saiz dan keluasan lokasi, selain mengalu-alukan penaja dalam kalangan syarikat korporat untuk memberi sumbangan.
“Kita menggalakkan penaja memberi kerjasama dan sumbangan bagi penubuhan Anjung Kasih, manakala operasi kemudahan ini ditanggung pihak hospital.
“Selain itu, berdasarkan data lebih 30,000 penghuni telah mendapat manfaat daripada kemudahan Anjung Kasih di seluruh negara, yang turut memberi penjimatan kepada keluarga pesakit dan kerajaan,” katanya.
Untuk rekod, Anjung Kasih YKN di Jalan Tull atau dikenali sebagai Tull’s Anjung Kasih mempunyai satu blok dengan 12 bilik dan 72 katil, selain dilengkapi kemudahan seperti bilik mandi, ruang rehat, pantri dan bilik cucian. – MalaysiaGazette
















