Polis melakukan serbuan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di bandar raya Johor Bahru, pada 3 Mei lalu.

JOHOR BAHRU – Seramai 217 individu termasuk 213 pelayan khidmat pelanggan (GRO) warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini pada 3 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, serbuan tersebut dilakukan pukul 2.30 pagi menerusi Ops Noda.

Beliau memberitahu, serbuan membabitkan pegawai dan anggota Bahagian D7 (Pencegahan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Pihak polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 36 tahun dan 213 wanita warga asing berumur antara 19 hingga 45 tahun yang dipercayai bekerja sebagai GRO di pusat hiburan berkenaan.

“Turut ditahan adalah seorang lagi lelaki tempatan yang dikesan mempunyai rekod dikehendaki berkaitan kes dadah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua buah telefon bimbit, 10 keping kertas catatan jualan kalung bunga serta dua buah mesin e-wallet.

Chuan Huat berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati semuanya negatif daripada sebarang jenis dadah.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga lelaki tempatan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah manakala semua wanita warga asing yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Mengulas lanjut mengenai tindakan perundangan, beliau berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.

“Pemilik premis akan dituduh di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 serta Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premis.

“Seramai 103 wanita asing akan didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, sembilan orang di bawah Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa, manakala dua lagi di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama kerana tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.

Kesemua suspek dijadualkan dibawa ke Mahkamah Majistretndi sini esok untuk proses pendakwaan, manakala suspek yang memiliki dokumen sah dan tidak terlibat kesalahan lain akan dibebaskan.

Sehubungan itu, Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti jenayah dan meminta masyarakat terus menyalurkan maklumat menerusi talian hotline 019-2792095 atau Bilik Gerakan IPK Johor di talian 07-2212999.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast