Zambry Abd Kadir melakukan simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah Komuniti Pontian di Kompleks Penghulu Mukim Benut, Pontian hari ini.

PONTIAN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merancang menaik taraf 36 politeknik seluruh negara bagi membolehkan kursus-kursus baharu ditawarkan agar relevan dengan pasaran kerja semasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ketika ini proses merangka akta berkaitan politeknik sedang dilakukan sebelum proses berkenaan boleh dilakukan selewat-lewatnya hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Jelas beliau, ia bertujuan merangka masa depan politeknik secara keseluruhan yang ketika ini hanya menawarkan pengajian peringkat sijil dan diploma.

“Ini termasuk sistem politeknik dan kursus-kursus yang ditawarkan bagi memenuhi permintaan dan keperluan masa kini serta juga masa hadapan.

“Sebagai contoh dalam bidang kecerdasan buatan (AI), dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) dan bidang semikonduktor di mana Malaysia antara negara pengeluar semikonduktor yang besar di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Komuniti Pontian di Kompleks Penghulu Mukim Benut di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Dr Shamsuri Abdullah.

Katanya, penstrukturan itu perlu dilakukan kerana politeknik tidak boleh lagi berfungsi hanya sekadar di peringkat kemahiran pertengahan atau kemahiran.

Jelas beliau, politeknik kini perlu ke tahap lebih tinggi dengan dapat melahirkan tenaga mahir dalam bidang-bidang dalam keperluan semasa termasuk juga dalam bidang lain yang diperlukan.

“Sebagai contoh apakah politeknik boleh menawarkan kursus-kursus di peringkat ijazah dan sarjana dan seterusnya kerana kalau kita lihat model politeknik yang terbaik di serata dunia, mereka turut mengemukakan idea-idea besar ini. Jadi kita harap ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Ditanya sama ada langkah itu untuk menaikkan status dan imej politeknik, beliau berkata, proses tersebut dilakukan secara menyeluruh termasuk kritikan negatif dilemparkan sebelum ini.

“Saya tahu ada kritikan seseorang yang mengatakan bahawa kursus-kursus yang ditawarkan di politeknik banyak yang berkaitan dengan kursus-kursus yang kita lelong.

“Oleh kerana semua nak masuk kononnya kita bagi kursus-kursus yang tidak relevan dengan market.

“Itu tidak benar sama sekali kerana fungsi universiti dan politeknik sentiasa kita berikan penekanan khususnya keperluan-keperluan terkini dan pada masa depan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kolej komuniti baharu di Pontian dijangka mula dibina tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM70 juta.

“Ketika ini proses pengambilan tanah telah pun dimulakan dan berjalan mengikut perancangan sebelum kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan.

“Kita sudah mulakan dari segi proses pengambilan tanah dan sebagainya. Kita jangkakan pada tahun hadapan akan mula,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast