KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa cadangan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 (Akta MARA 2026) dirangka bagi memperkukuh tadbir urus korporat institusi berkenaan dengan menekankan mekanisme semak dan imbang serta pelaporan yang selari dengan piawaian semasa.
Beliau berkata, struktur tadbir urus sedia ada dalam akta lama dilihat tidak lagi mencukupi memandangkan skala operasi MARA kini jauh lebih besar melibatkan pengurusan aset bernilai sekitar RM23 bilion serta rangkaian institusi pendidikan, pelaburan dan pembangunan usahawan di seluruh negara.
Menurut beliau, pindaan baharu itu bertujuan memastikan wujud pemisahan kuasa yang lebih jelas antara lembaga, pengurusan dan jawatankuasa berkaitan bagi mengelakkan risiko penyalahgunaan kuasa serta keputusan yang terlalu berpusat kepada pihak tertentu.
“Dalam konteks tadbir urus korporat moden, setiap institusi besar perlu mempunyai komponen seperti jawatankuasa audit, risiko, pelaburan dan kewangan yang berfungsi secara bebas dan berkesan,” katanya dalam ucapan pada Sesi Libat Urus RUU MARA 2026, di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, kira-kira 70 peratus daripada cadangan pindaan terhadap Akta MARA 1966 akan melibatkan aspek pengukuhan tadbir urus institusi yang berusia 60 tahun itu.
Katanya, Akta MARA 1966 sedia ada memperlihatkan pemusatan kuasa yang terlalu besar kepada Pengerusi dan Majlis MARA tanpa wujudnya pemisahan kuasa yang jelas antara lembaga pengarah dan pengurusan.
Beliau berkata, pindaan besar-besaran melalui Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 yang akan dibawa ke Majlis Jemaah Menteri dan seterusnya ke Parlimen itu amat kritikal bagi mengelakkan sebarang salah laku, manipulasi demi kepentingan individu tertentu, kecuaian atau penyimpangan tata kelola kewangan pada masa hadapan.
“MARA hari ini menguruskan RM23 bilion nilai aset dengan 345 institusi pendidikan selain sektor pembangunan usahawan dan pelaburan, maka RUU ini perlu dalam konteks pemisahan kuasa yang mengatur dan mengawal selia urusan pentadbiran dan pengurusan organisasi, bawa elemen semak dan imbang.
“Bagi tujuan itu, pindaan itu antara lain melibatkan cadangan mewajibkan pewujudan organ tadbir urus seperti Jawatankuasa Audit MARA, Jawatankuasa Pelaburan MARA, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus MARA serta Jawatankuasa Risiko MARA,” katanya lagi.
Tambahnya, Akta MARA 2026 juga akan memperkenalkan keperluan lebih ketat terhadap pelantikan ahli majlis dan pengurusan termasuk kriteria fit and proper bagi memastikan hanya individu berkelayakan dan berintegriti dilantik ke jawatan penting.
Selain itu, beliau berkata, aspek pematuhan syariah akan turut diperkukuh dengan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan semua urusan kewangan, pelaburan dan pembiayaan mematuhi prinsip syariah secara menyeluruh.
Menurut beliau, keseluruhan pembaharuan itu adalah penting bagi memastikan MARA terus kekal relevan sebagai institusi pembangunan Bumiputera yang moden, telus dan berdaya saing, tanpa mengira perubahan kepimpinan pada masa hadapan.
“Institusi mesti kekal kukuh dengan sistem tadbir urus yang tersusun, walaupun pemimpin datang dan pergi. Yang penting ialah kelangsungan institusi dan keyakinan rakyat terhadapnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















