KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang amat serius kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bahawa kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur dilaporkan menyusut sehingga kira-kira 70 peratus selepas sebahagian tanah dipindahkan kepada pemaju sejak 2015.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, dakwaan itu sekiranya benar bukan lagi isu pembangunan biasa.
Sebaliknya, menurut beliau, ia melibatkan persoalan besar mengenai integriti pentadbiran awam, ketelusan proses kelulusan tanah, keselamatan rakyat dan kemungkinan berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan aset mitigasi banjir negara.
Jelasnya, kolam takungan banjir bukan tanah komersial biasa yang boleh dikompromi demi pembangunan jangka pendek, tetapi merupakan infrastruktur keselamatan awam yang diwujudkan untuk melindungi nyawa, rumah, ekonomi bandar dan kestabilan sistem saliran Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, ujarnya, rakyat berhak mengetahui pihak yang meluluskan pemindahan tanah tersebut serta justifikasi teknikal yang digunakan.
Selain itu, tambah beliau, persoalan lain yang perlu dijawab adalah sama ada terdapat bantahan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau pakar teknikal serta sama ada semua kelulusan dibuat mengikut prosedur serta kepentingan awam.
“Lebih membimbangkan, situasi ini menunjukkan bagaimana kepentingan pembangunan boleh secara perlahan-lahan menghakis fungsi asal infrastruktur perlindungan rakyat sehingga kapasiti mitigasi banjir bandar menjadi semakin lemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jais mengingatkan dalam banyak keadaan, rasuah dan salah guna kuasa tidak semestinya berlaku melalui transaksi wang semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, ia juga boleh berlaku apabila sistem pentadbiran membenarkan keputusan-keputusan yang bercanggah dengan kepentingan awam dibuat secara berterusan tanpa semakan dan akauntabiliti yang ketat.
Tambah beliau, sekiranya benar sebanyak 17 lot tanah telah dipindahkan kepada pihak pemaju sehingga menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir, maka perkara itu wajib disiasat secara menyeluruh bagi menentukan beberapa perkara penting.
Antaranya, ujar beliau, sama ada wujud unsur konflik kepentingan; campur tangan berkepentingan; pelanggaran prosedur teknikal; kecuaian pentadbiran atau penyalahgunaan kuasa dalam proses kelulusan.
“MCW berpandangan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguat kuasa berkaitan wajar meneliti keseluruhan proses pemindahan tanah ini sekiranya terdapat asas munasabah melibatkan manfaat luar biasa kepada pihak tertentu atau keputusan yang bertentangan dengan kepentingan keselamatan awam,” katanya.
Dalam masa sama, ujarnya, MCW turut menggesa satu audit bebas dan telus dilakukan terhadap semua kawasan mitigasi banjir di Kuala Lumpur bagi memastikan tiada lagi pembangunan yang mengorbankan fungsi infrastruktur keselamatan rakyat atas nama kemajuan bandar.
“Jika benar kapasiti kolam takungan banjir kini hanya tinggal sekitar 30 peratus daripada saiz asal, maka rakyat berhak bertanya: “Siapa yang mendapat manfaat daripada pembangunan ini, dan siapa yang akhirnya akan menanggung risiko apabila banjir besar berlaku?” soalnya. – MalaysiaGazette
















