JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak kritikal selepas terjatuh dari tingkat lima di Blok Teratai, Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Uda Utama di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 10.30 pagi.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kanak-kanak lelaki berusia dua tahun itu dipercayai memanjat tingkap di ruang tamu kediaman berkenaan dengan menggunakan sebuah sofa yang diletakkan berhampiran.
“Semasa kejadian, tingkap tersebut didapati berada dalam keadaan terbuka sedikit dan tidak berkunci.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan tempat letak kenderaan di bawah flat tersebut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini oleh pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Radin Ramlan memaklumkan bahawa mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan akibat impak jatuh dari tempat tinggi.
Tambahnya, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal setelah mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala dan leher serta dipercayai mengalami pendarahan dalaman.
Ujarnya, susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya sentiasa memberikan perhatian serius terhadap aspek keselamatan di kediaman masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Pastikan tingkap dan ruang berisiko sentiasa berada dalam keadaan selamat, khususnya bagi mereka yang mempunyai anak kecil,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menyalurkannya terus melalui hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122 bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette
















