KULAI – Harapan seorang akauntan untuk menambah pendapatan musnah selepas RM155,000 miliknya lesap diperdaya penipuan skim pelaburan tidak wujud, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa iaitu seorang wanita warga tempatan berusia 47 tahun membuat laporan polis semalam selepas mendakwa diperdaya.
Beliau berkata, mangsa mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM155,182.97 akibat ditipu oleh sindiket yang menawarkan pelaburan tidak wujud.
“Mangsa berminat untuk membuat pelaburan kerana menjanjikan keuntungan berganda dalam tempoh 24 jam dan suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi Antos Pinnacles milik mangsa.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan telah membuat 17 kali transaksi pembayaran berjumlah RM155,182.97 ke dalam dua akaun bank tempatan bermula dari 30 Mac hingga 15 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa membuat semakan dalam aplikasi berkenaan miliknya dan mendapati keuntungan yang diperolehi adalah sebanyak RM437,740.
Bagaimanapun katanya, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang dalam aplikasi Antos Pinnacles, dia mendapati akaunnya disekat.
“Mangsa yang mengesyaki dirinya telah ditipu datang ke balai polis bagi membuat laporan,” katanya.
Seng Lee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu pelaburan tidak wujud.
Pada masa sama, beliau menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam masa yang singkat.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menggunakan khidmat atas talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti National Scam Response Centre (NSRC), CCID Infoline, Semak Mule dan juga boleh mendapatkan info terkini berkaitan modus operandi jenayah komersial melalui laman rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tambahnya.- MalaysiaGazette
















