BEIRUT – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Rabu berkata beberapa insiden dron berhampiran dan di dalam posisinya di selatan Lubnan menimbulkan ancaman keselamatan anggota pengaman serta menyebabkan kerosakan pada kemudahan PBB.
UNIFIL dalam satu kenyataan berkata beberapa dron yang dipercayai milik Hizbullah meletup pada Isnin dan Selasa berhampiran ibu pejabatnya di pekan Naqoura, selatan Lubnan, di kawasan tentera Israel dipercayai mungkin berada, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan itu, tiga dron meletup antara 5 petang dan 5.30 petang waktu tempatan pada Isnin dalam jarak hanya beberapa meter dari ibu pejabat berkenaan, disusuli satu lagi letupan dron di kawasan sama pada kira-kira 5.20 petang Selasa.
Beberapa minit kemudian, satu lagi dron meletup di dalam kawasan ibu pejabat itu, menyebabkan beberapa bangunan rosak.
Tiada kecederaan dilaporkan.
UNIFIL berkata pihaknya semakin bimbang terhadap kegiatan anggota Hizbullah dan tentera Israel berhampiran kedudukan PBB.
Pasukan itu turut mengemukakan bantahan berhubung kehadiran serta pergerakan tentera dan kenderaan Israel berhampiran ibu pejabatnya, selain kegiatan aktor bukan negara berhampiran kedudukan PBB. – BERNAMA-XINHUA
















