Aznan Tamin menyerahkan sijil dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Negeri Johor 2025 di KSL Resort, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menitikberatkan soal kesihatan dan pemakanan dalam kalangan pelajar sekolah bagi membudayakan tabiat pemakanan sihat dari usia muda.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, usaha itu melibatkan pelbagai program antaranya Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) dan program pembangunan kesihatan membabitkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“JPNJ akan mengikut segala kaedah serta mekanisme pelaksanaan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM), bagi membendung budaya pemakanan tidak sihat dalam kalangan murid dan pelajar di sekolah.

“Di Johor, kita menyokong kepada pengupayaan untuk memastikan makanan sihat di sekolah dan juga melibatkan pengusaha-pengusaha kantin.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita mulakan program makanan sihat di peringkat jabatan kerajaan, maknanya apa yang kita lancarkan nanti akan turut diimplementasi di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Awam Negeri Johor 2025 di KSL Resort, di sini hari ini.

Isnin lalu, KPM dilaporkan akan mempergiat usaha membendung budaya pemakanan tidak sihat dalam kalangan murid sekolah susulan peningkatan masalah obesiti dan bantut yang semakin membimbangkan di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pengaruh makanan tular di media sosial dikenal pasti antara faktor baharu yang menyumbang kepada gangguan nutrisi sistematik dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menurut Aznan, JPNJ dan KPM sudah mengadakan perbincangan lanjut mengenai usaha itu dan masih menunggu sebarang pelaksanaan baharu yang akan diumumkan.

Dalam masa sama, pihaknya turut menggalakkan pengusaha kantin memperoleh sijil halal bagi memastikan penyediaan makanan yang lebih berkualiti dan diyakini.

“Kita juga sedang merangka dan menyusun beberapa perkara bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan berhubung isu penjaja yang menjual makanan tidak sihat di luar sekolah.

“Ia bukan sahaja melibatkan soal penjualan makanan tidak sihat buat murid dan pelajar sekolah malah turut membabitkan isu keselamatan mereka. Setakat ini, kita belum ada buat pemutihan dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast