KULAI – Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki kemalangan dengan sebuah treler muatan kelapa sawit di Jalan Kulai-Kota Tingginberhampiran simpang Felda Taib Andak di sini hari ini.
Kemalangan tersebut mengorbankan pemandu, Zamri Mohamed, 56, dan penumpang MPV jenis Mitsubishi Xpander tersebut, Azizah Abd Samad, 55, cedera.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Fauzi Che Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya itu pada pukul 3.23 petang.
“Seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kemalangan dan setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ke lokasi, kemalangan membabitkan sebuah lori treler Fuso 30 tan muatan kelapa sawit dengan Mitsubishi Xpander tersebut.
“Pemandu lori tidak cedera, namun pemandu Mitsubishi Xpander tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara isterinya cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PKO bertindak menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa daripada kenderaan terbabit.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala isterinya dikejarkan ke hospital berhampiran.
Menurut beliau, operasi kemudian ditamatkan pada pukul 5 petang.- MalaysiaGazette
















