JOHOR BAHRU – Sebuah lori polis yang membawa beberapa banduan hampir terbabas dan hilang kawalan dalam kejadian di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya mengesan video tular dalam media sosial tersebut sebelum siasatan dilakukan.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku pada pukul 4.45 petang kelmarin yang mana lori berkenaan dipandu anggota polis berusia 34 tahun.
“Selain dinaiki anggota pengiring lori berkenaan turut dinaiki banduan dari mahkamah Johor Bahru ke penjara Kluang.
“Lori berkenaan hampir terbabas di lorong kanan, namun pemandunya sempat mengawal lori sebelum berhenti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Radin Ramlan berkata, punca kejadian disebabkan jalan licin akibat hujan dan terdapat kesan tumpahan minyak di permukaan jalan.
Jelas beliau, semua yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
Menerusi video tular tersebut, netizen memuji tindakan pemandu terbabit yang berjaya mengawal lori daripada terbalik dan mengelak kejadian bertambah buruk. – MalaysiaGazette
















