JOHOR BAHRU – Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 di sini merangkul Tempat Pertama Anugerah Inovasi Idea Terbaik di Jepun baru-baru ini.
SMK tersebut mengharumkan nama negara menerusi sidang Kemuncak Belia Jepun dan Program Pendedahan STEM Antarabangsa di Universiti Osaka Kyoiku, Jepun pada 11 hingga 14 Mei lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pendidikan Johor, Aznan Tamin berkata, kejayaan luar biasa itu dicapai menerusi pertandingan yang menghimpunkan 12 delegasi antarabangsa antaranya Amerika Syarikat (AS); China; Kanada; Hong Kong serta negara-negara ASEAN.
“Dalam persaingan berprestij ini, anak-anak Johor berjaya mencuri perhatian juri antarabangsa menerusi idea inovasi yang bukan sahaja kreatif, malah mempunyai nilai kemanusiaan serta kelestarian yang tinggi.
“Pasukan SRBJ yang dianggotai Farhah Azra Abdul Rahim, Muhammad Darwish Dhani Darmawi dan Shreeniithi dari Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 mempertaruhkan projek inovasi bertajuk Craytion di bawah bimbingan guru berdedikasi, Yogeshwari Chelliah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, projek itu merupakan inovasi krayon mesra alam berasaskan minyak masak terpakai dan pewarna semula jadi yang dibangunkan khas.
Jelasnya, ini bagi menyokong terapi sensori kanak-kanak autisme melalui pendekatan pendidikan Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) yang inklusif dan lestari.
Katanya, lebih membanggakan, inovasi Craytion itu bukan sahaja memenuhi elemen kreativiti dan teknologi, malah membawa mesej besar berkaitan kelestarian alam sekitar, pendidikan inklusif serta kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata, ini selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, 11 dan 12 membuktikan bahawa anak Johor bukan sekadar mampu mencipta inovasi, tetapi mampu menghasilkan solusi yang memberi impak sebenar kepada masyarakat dunia.
“Kejayaan delegasi ini turut didorong hasil sokongan padu pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Kerajaan Negeri Johor serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) yang menyalurkan dana RM10,000 bagi tujuan latihan intensif dan persediaan pertandingan,” katanya.
Delegasi itu katanya, diketuai Pengetua SMK Seri Kota Puteri 2, Siti Norbayah yang memainkan peranan penting dalam memastikan kesiapsiagaan pelajar berada pada tahap terbaik sebelum beraksi di pentas antarabangsa.
Sepanjang berada di Jepun, delegasi SRBJ turut diberi peluang membuat lawatan akademik ke Kyoto University of Education bagi mendalami pendekatan pendidikan STEM dan pembelajaran berasaskan inkuiri yang menjadi antara amalan utama sistem pendidikan bertaraf dunia, katanya.
Aznan berkata, pendedahan itu diyakini mampu memperkukuh budaya inovasi dan pemikiran global dalam kalangan pelajar Johor selaras dengan agenda pembangunan modal insan negeri.
“Tahniah dan syabas kepada seluruh warga SRBJ, guru pembimbing, ibu bapa serta semua pihak yang terlibat dalam mengangkat nama Johor di pentas dunia.
“Menjunjung kasih Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas cetusan idea dan ilham SRBJ serta keprihatinan dalam pendidikan Johor,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas sokongan padu dalam menjayakan dan meningkatkan kualiti pendidikan Johor.
“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa pelaburan Kerajaan Negeri Johor dalam agenda pendidikan SRBJ, STEM dan pembangunan bakat anak muda terus berada di landasan tepat demi melahirkan generasi Bangsa Johor yang kompeten, progresif dan disegani di peringkat antarabangsa,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















