KUALA LUMPUR – Kira-kira 35 individu termasuk penghantar makanan warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam sindiket pinjaman wang haram dari Singapura bagi menghantar bungkusan ugutan kepada peminjam.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tangkapan dibuat hasil operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) susulan laporan mengenai perkara itu.
“Betul mengenai dakwaan itu dan kita sudah menahan lebih kurang 35 orang melibatkan sindiket dari negara jiran Singapura.
“Tindakan ini masih lagi dibuat secara bersepadu dengan SPF dan kita akan cuba banteras kegiatan ini sebaik mungkin,” katanya dalam sidang media Ops Teguh 2.0 di sini hari ini.
Tambah Mohd Khalid berkata, sindiket itu bukan sahaja mengeksploitasi penghantar makanan, malah turut menggunakan akaun keldai bagi melancarkan operasi mereka.
“Ia bukan hanya melibatkan penghantar makanan tetapi juga akaun keldai.
“Kita sentiasa mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang perjanjian atau urusan dengan individu yang tidak dikenali kerana polis akan menangkap dan mendakwa mereka yang terlibat termasuk pemilik akaun keldai,” tegasnya.
Terdahulu media melaporkan, penghantar makanan dari Malaysia kini dieksploitasi sindiket along Singapura untuk menghantar bungkusan berunsur gangguan kepada peminjam yang gagal melunaskan hutang.
Mereka merekrut mangsa melalui kumpulan pekerjaan di aplikasi Telegram, dengan menyamar sebagai tawaran kerja pantas yang menawarkan upah sehingga SGD100 (RM308) bagi setiap penghantaran dengan alasan bungkusan tersebut adalah ‘hadiah kejutan’.
Menurut laporan itu, beberapa bungkusan dipercayai mengandungi produk berasaskan khinzir yang bertujuan menakut-nakutkan peminjam Muslim, dengan beberapa penghantar makanan Malaysia dilaporkan ditahan pihak berkuasa Singapura selepas penerima membuat laporan polis.
Di bawah undang-undang Singapura sama sekali tidak menerima alasan ‘tidak tahu’ sebagai pembelaan, di mana liabiliti atau tanggungan undang-undang akan diletakkan sepenuhnya ke atas penunggang sebaik sahaja mereka menerima sesuatu tugasan penghantaran tersebut. – MalaysiaGazette
















