SHAH ALAM – Kecerdasan buatan (AI) kini dilihat sebagai elemen penting dalam membentuk masa depan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, AI juga menjadi fokus utama dalam Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani Zon Tengah (POLYCC) 2026 hari ini.
“Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah forum Bicara Kepimpinan TVET: Meneroka Peranan AI dalam TVET melibatkan panel kepimpinan pendidikan.
“Forum ini turut disertai wakil Google Malaysia dalam membincangkan bagaimana AI mampu memperkukuh ekosistem TVET negara.
“Ia memberi penekanan terhadap cabaran yang bakal dihadapi pemimpin muda pendidikan tinggi dalam mendepani perubahan teknologi semakin pantas,” katanya ketika berucap pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, hari ini.

Program anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) itu menghimpunkan kira-kira 300 pensyarah dan pentadbir muda politeknik serta kolej komuniti bagi memperkukuh kesiapsiagaan kepimpinan menghadapi era transformasi digital.
Selain itu, Zambry juga menyentuh hala tuju pendidikan tinggi serta pembangunan bakat kepimpinan muda negara dengan memanfaatkan teknologi AI bermula daripada komuniti politeknik.
“Sebagai permulaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyampaikan Watikah Pelantikan Duta AI AKEPT sebagai simbol komitmen memperluas budaya inovasi dan literasi AI dalam sektor pendidikan tinggi negara.
“Usaha strategik KPT dalam melahirkan pemimpin muda yang berdaya saing, progresif dan berteraskan nilai Malaysia MADANI selaras dengan aspirasi transformasi pendidikan tinggi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















