KUALA LUMPUR – Seorang bekas pemandu hakim Mahkamah Tinggi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugutnya bertujuan untuk menakut-nakut beliau, minggu lalu.
Mohd Fareez Mohd Zin, 39, didakwa secara jenayah menakut-nakutkan Hakim Gan Techiong, 64, pukul 1.30 tengah hari, 8 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Sivil di sini dengan niat untuk menimbulkan kegentaran kepada mangsa.
Penganggur tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Jika ugutan itu melibatkan kematian atau kecederaan yang teruk, kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas membenarkan bantahan pihak pendakwaan.
Kes tersebut sepatutnya dituduh di mahkamah berlainan dan tertuduh boleh memohon jaminan di hadapan majistret asal yang akan mendengar kes itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa membantah ikat jamin bahawa kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.
“Saya membantah permohonan jaminan dalam kes ini, mahkamah mesti memastikan keselamatan hakim di Malaysia.
“Sekiranya ikat jamin dibenarkan, jumlah itu sepatutnya dengan nilai yang tinggi dan tertuduh mesti dihalang daripada mengganggu saksi pendakwaan dan diarahkan melapor diri di balai polis,” katanya.
Peguam bela Karen Kaur memohon mahkamah menetapkan jaminan pada jumlah minimum, dengan menyatakan bahawa anak guamnya telah bersetuju untuk menghadiri semua prosiding mahkamah akan datang.
“Dia tidak berisiko melarikan diri manakala tujuan utama ikat jamin adalah untuk memastikan kehadirannya di mahkamah.
“Jumlah itu harus mengambil kira keadaan kewangannya dan dia tidak mempunyai bantahan terhadap sebarang syarat tambahan yang dikenakan oleh mahkamah,” katanya.
Dalam kes berasingan, Fareez turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan didapati memberi dadah kepada diri sendiri iaitu amphetamine dan methamphetamine melalui ujian air kencing pada 11.10 malam 12 Mei lalu di tandas Jabatan Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Pertuduhan yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta pengawasan mandatori tidak kurang dua tahun.
Amritpreet meminta tarikh sebutan semula sementara menunggu penyerahan laporan patologi dan dicadangkan ikat jamin RM4,00 dengan seorang penjamin manakala Karen memohon jaminan lebih rendah.
Farah Nabihah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Ogos depan untuk sebutan kedua-dua kes. – MalaysiaGazette
















