Phee Boon Poh

GEORGE TOWN – Perbezaan pandangan dalam parti perlu dibincangkan melalui saluran dalaman dan tidak dibawa secara terbuka sehingga boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri, tegas Veteran DAP, Datuk Seri Phee Boon Poh.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Pulau Pinang berkata, rakyat mengharapkan DAP menampilkan kestabilan, kepimpinan matang dan tadbir urus bertanggungjawab bukannya serangan terbuka berterusan terhadap kerajaan negeri pimpinan parti sendiri.

Menurutnya, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam sebuah parti demokratik dan kritikan membina juga mempunyai tempatnya.

Namun, jelas beliau, terdapat perbezaan antara memberi pandangan secara membina dengan mewujudkan tekanan awam serta ketegangan politik berterusan terhadap kerajaan sendiri dan ketua menteri.

“Selama bertahun-tahun, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow telah menunjukkan kesabaran, kawalan diri dan profesionalisme dalam mentadbir kerajaan negeri meskipun berdepan cubaan provokasi dalaman berulang kali.

“Jika benar terdapat kebimbangan terhadap urusan kerajaan, perkara tersebut sewajarnya dibangkitkan terlebih dahulu melalui perbincangan dalaman dan saluran parti-kerajaan yang sesuai.

“Sebagai pemimpin kanan yang berpengalaman luas dalam urusan kerajaan dan parti, disiplin parti serta tanggungjawab kolektif perlu sentiasa dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Boon Poh berkata, sukar bagi akar umbi dan rakyat memahami mengapa perkara tertentu tidak dibincangkan terlebih dahulu melalui saluran dalaman yang telah ditetapkan sebelum dibawa berulang kali ke ruang awam dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, rakyat mahu melihat pemimpin menyelesaikan masalah bersama-sama, bukannya terlibat dalam pertelingkahan politik terbuka yang berpanjangan sehingga melemahkan keyakinan mereka terhadap kerajaan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penyokong akar umbi.

“Tiada mana-mana pemimpin lebih besar daripada parti dan tiada generasi yang boleh memimpin selama-lamanya.

“Setiap parti politik akhirnya perlu melalui proses pembaharuan dan memberi ruang kepada generasi baharu untuk berkembang, menimba pengalaman dan memikul tanggungjawab lebih besar,” katanya.

Menurut beliau, ramai pemimpin muda di dalam DAP kini memikul tanggungjawab besar dalam kerajaan dan di peringkat akar umbi selain bekerja keras mendekati masyarakat, menyelesaikan isu serta mengukuhkan keyakinan rakyat dalam keadaan politik dan ekonomi yang semakin mencabar.

“Mereka sepatutnya dibimbing dan diperkukuhkan, bukannya sentiasa menjadi sasaran serangan terbuka dalaman dan percaturan politik.

“Ketika kuasa politik luar sedang berusaha melemahkan Kerajaan Perpaduan dan kestabilan Pulau Pinang, pemimpin DAP perlu menunjukkan kematangan, disiplin dan tanggungjawab kolektif,” katanya.

Semalam berlaku pertikaman lidah terbuka antara Kon Yeow dan Lim Guan Eng berhubung pembatalan proses Permintaan Cadangan (RFP) membabitkan kawasan seluas 559 ekar di Ladang Byram/Changkat selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih itu mempersoalkan keputusan tidak meneruskan tawaran konsortium itu ketika sidang DUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast