Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin bergambar bersama Buku Laporan Suku Tahunan BNM Suku Pertama 2026 dan Buku Laporan Keluaran Dalam Negeri Kasar Suku Pertama 2026 pada sidang media Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2026 di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 MEI 2026.

KUALA LUMUR – Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi kesan langsung dan tidak langsung konflik geopolitik yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, harga tenaga yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan yang meningkat dijangka menjejaskan persekitaran luaran.

Namun menurut beliau, ekonomi negara dijangka kekal berdaya tahan pada 2026 dengan pertumbuhan dijangka berada dalam julat empat hingga lima peratus disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil dan prestasi eksport negara yang terus berkembang.

Katanya, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan menyediakan penampan yang kukuh terhadap rintangan luaran.

“Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang kukuh serta sokongan dasar yang berterusan.

“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan berterusan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.

Meskipun berdepan dengan rintangan luaran, pertumbuhan eksport akan terus disokong oleh pengembangan teknologi global, khususnya bagi barangan elektrik dan elektronik, mencerminkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Abdul Rasheed memberitahu, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5 hingga 2.5 peratus pada tahun 2026.

Kata beliau, susulan konflik di Timur Tengah, inflasi dijangka meningkat sedikit disebabkan oleh peningkatan harga tenaga global dan komoditi utama lain, pada amnya selaras dengan jangkaan.

“Dengan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan, langkah-langkah dasar sedia ada termasuk subsidi bahan api bersasar dan langkah-langkah pengurangan lain.

“Ia dijangka membantu mengehadkan kesan limpahan jangka pendek kepada inflasi yang lebih meluas.

“Bagaimanapun, tahap dan kadar pindahan kepada harga dalam negeri akibat konflik yang berterusan turut bergantung pada penetapan harga oleh syarikat-syarikat serta keadaan permintaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast