Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu bercakap pada sidang media berkenaan Op Lejang Mewah Klon di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan penjenayah dipercayai memeras ugut peniaga dengan meminta wang perlindungan, menyerang premis dan mencederakan individu berjaya dipatahkan menerusi Op Pusak Merah di Sarawak pada bulan lalu.

Operasi bermula 19 hingga 23 April lalu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Sarawak telah menahan 23 suspek lelaki tempatan berusia antara 19 hingga 44 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kumpulan terbabit diketuai lelaki tempatan berusia 41 tahun itu mempunyai 26 ahli dan mereka dikesan aktif sejak tahun 2020.

“Kesemua tangkapan ini terdiri daripada penjenayah berulang dan telah ditahan reman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 18 Mei ini.

“Turut dirampas dalam operasi ini iaitu selaras senjata api jenis pump gun, sejumlah peluru 12 bore pelbagai jenama, dua bilah pedang samurai dan dua bilah parang panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga sudah mengenal pasti tiga lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan suspek giat dijalankan.

“Modus operandi kumpulan itu dikesan dengan melakukan pemerasan bagi mendapatkan wang perlindungan selain melakukan serangan ke atas premis yang gagal membuat bayaran.

“Mereka juga melakukan ugutan jenayah, mencederakan mangsa serta terbabit dalam pelbagai kesalahan serius bagi memperluaskan pengaruh dan mendapatkan faedah material untuk kumpulan,” jelasnya.

Kumar menambah, kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau membabitkan kes bunuh, rompak berkumpulan, khianat dengan api, ugutan jenayah, pecah rumah, curi kenderaan serta bangunan, rumah judi terbuka dan pengedaran dadah.

“Dengan penahanan ahli kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 25 kes dan sekali gus melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di Sarawak.

“Kesemua 26 ahli kumpulan termasuk tiga suspek yang masih bebas akan dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Pertuduhan ke atas mereka dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Kuching pada pukul 2.30 petang hari ini,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu sejak memegang jawatannya pada Ogos 2025, JSJ Bukit Amaan telah berjaya melumpuhkan enam kumpulan jenayah terancang dengan menahan 81 suspek di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“JSJ akan terus komited untuk mengambil tindakan dan menjalankan operasi berterusan terhadpa mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam aktiviti jenayah, gangsterism serta jenayah kekerasan bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan,” katanya, – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast