JOHOR BAHRU – Keputusan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) disifatkan dibuat atas kepentingan politik, sekali gus perlu dikaji semula untuk kepentingan nasional serta kedaulatan dasar pendidikan negara.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak berkata, keputusan tersebut bukan sahaja menimbulkan persoalan besar terhadap hala tuju dasar pendidikan negara.
Malah katanya, dibimbangi membuka ruang kepada penghakisan semangat sistem pendidikan kebangsaan yang selama ini menjadi asas pembinaan identiti nasional dan perpaduan rakyat.
“Pengiktirafan rasmi terhadap UEC tidak boleh dilihat sebagai isu pentadbiran semata-mata, sebaliknya ia merupakan keputusan dasar yang mempunyai implikasi besar terhadap masa depan sistem pendidikan negara.
“Apa yang lebih membimbangkan, keputusan ini dilihat mempunyai unsur pertimbangan politik semasa dan tekanan pihak tertentu dalam kerajaan, khususnya menjelang landskap politik menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selama ini kerajaan-kerajaan terdahulu mengambil pendekatan berhati-hati dalam isu pengiktirafan UEC kerana memahami sensitiviti nasional serta kepentingan mempertahankan kedudukan sistem pendidikan kebangsaan.
Bagaimanapun, hari ini dakwanya, kerajaan dilihat mengambil langkah tergesa-gesa tanpa perbahasan menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan.
“Kita tidak menolak hak mana-mana pihak untuk menjalankan sistem pendidikan persendirian mereka sendiri.
“Namun, apabila kerajaan mula memberikan pengiktirafan rasmi kepada sistem tersebut untuk memasuki IPTA, maka ia membawa makna yang jauh lebih besar dan perlu diperhalusi secara mendalam,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan perlu menjelaskan beberapa perkara penting kepada rakyat iaitu jaminan bahawa pengiktirafan itu tidak akan melemahkan kedudukan sistem pendidikan kebangsaan.
Selain itu, katanya, bentuk mekanisme kawalan standard kurikulum dan integrasi nasional yang akan dilaksanakan serta mengapa keputusan sebesar itu dibuat tanpa konsultasi awam yang menyeluruh.
Tambahnya, sebagai sebuah negara majmuk, sistem pendidikan harus menjadi medium penyatuan rakyat, bukannya memperkukuhkan lagi jurang dan pengasingan pendidikan mengikut aliran masing-masing.
“Justeru, saya menggesa kerajaan supaya mengkaji semula keputusan ini secara lebih teliti, terbuka dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan nasional, kedaulatan dasar pendidikan negara serta masa depan perpaduan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA. – MalaysiaGazette
















