KUALA LUMPUR – Seorang jururawat maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 3.8, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Shah Alam pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 7 pagi itu, mangsa, Afiq Safwan Sabri, berusia 30-an yang bertugas di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika lori tanpa muatan dari arah Seafield ke Bukit Jelutong berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pecah.

“Kemudian, datang sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah sama telah melanggar bahagian kanan belakang lori tersebut dan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast