Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti kedudukan institusi politeknik negara termasuk aspek organisasi, sistem gaji, laluan kerjaya pegawai serta peranan strategiknya dalam pembangunan industri negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perbincangan bersama pihak pengurusan politeknik termasuk pengarah dan Ketua Pengarah telah diadakan bagi melihat semula keseluruhan ekosistem institusi berkenaan.

“Semakan itu penting kerana politeknik kini memainkan peranan besar dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara, khususnya dalam bidang industri yang telah dikenal pasti kerajaan.

“Kita melihat bahawa kedudukan politeknik ini sangat penting, bukan hanya semata-mata sebagai institusi menengah.

“Kita mahu supaya ia diangkat kerana menawarkan program-program yang sangat diperlukan dalam negara kita,” katanya kepada pemberita pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, hari ini.

Suasana pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 Zon Tengah (POLYCC) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 15 MEI 2026.

Beliau mengulas usaha KPT memperkukuh institusi politeknik agar lebih relevan dengan keperluan semasa serta perkembangan sektor industri negara.

Tambah Zambry, antara perkara yang diberi perhatian termasuk sistem gaji sedia ada, kedudukan pegawai, pembangunan kerjaya dan laluan kenaikan pangkat warga politeknik.

Dalam masa sama, ujarnya, KPT turut merancang memperkukuh kerjasama antara politeknik dan industri menerusi konsep `makmal kerjasama’ yang membolehkan institusi tersebut menjadi platform pembangunan bakat serta inovasi industri.

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi mengkaji keseluruhan aspek berkaitan politeknik termasuk kedudukan perundangan, struktur pentadbiran sedia ada serta cadangan penambahbaikan pada masa hadapan.

“Hasil kajian jawatankuasa berkenaan dijangka siap tahun depan sebelum dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan lanjut.

“Antara perkara yang turut dipertimbangkan termasuk kemungkinan pindaan terhadap akta sedia ada bagi memperkukuh fungsi dan kedudukan politeknik dalam sistem pendidikan tinggi negara.

“Kita telah mula sekarang dan saya ingat mungkin tahun depan akan siap semua ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast