TANGKAP layar video tular pemandu dipercayai mabuk memandu lawan arus dan menyebabkan kemalangan.

KUALA LUMPUR – Tempoh reman terhadap pemandu kereta Bezza yang memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sejauh 3.5 kilometer di Persiaran Kota, Klang, disambung empat hari lagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey berkata, permohonan lanjutan reman terhadap suspek berusia 30-an itu dibuat selepas tempoh remannya berakhir hari ini.

“Reman suspek disambung selama empat hari sehingga 19 Mei depan. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya ringkas hari ini.

Ditanya mengenai status mangsa dalam kejadian itu, beliau berkata, lelaki tempatan berusia 20-an berkenaan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Semalam media melaporkan, seorang penunggang motosikal tercampak selepas dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu oleh lelaki dalam keadaan mabuk dan melawan arus sejauh 3.5 kilometer di Persiaran Kota.

Jit Huey dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam pada 13 Mei lalu itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian badan serta kaki kanan akibat tercampak.

Katanya, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan berusia 30-an sedang bergerak dari arah Pelabuhan Klang menghala ke Shah Alam.

“Hasil ujian saringan awal mendapati, pemandu Bezza itu positif alkohor dan suspek telah ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast