KUALA LUMPUR – Polis giat mengesan individu dipercayai mencuri beg sandang milik seorang lelaki di kawasan premis Top Baker, di kawasan Perindustrian Sg Puloh, Klang Selangor.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa jam 3.39 pagi pada 7 Mei lalu.
“Mangsa kehilangan beg sandang yang mengandungi dokumen peribadi ketika sedang membuat penstriman langsung (live) di aplikasi TikTok di premis berkenaan.
“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka dan usaha mengesan suspek lelaki sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilok Gerakan Ibu Pejabat Polis Darah (IPD) Klang Utara di talian 03-3291 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.
Terdahulu tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki memakai baju putih memasuki premis Top Baker dan mengambil beg sandang yang diletakkan di atas kerusi sebelum melarikan diri. – MalaysiaGazette
















