Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar (tengah) menyaksikan Majlis Nota Serah Tugas Pengarah SPRM Putrajaya yang baharu, Mohd Shahril Che Saad (kanan) dan mantan Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi di Ibu Pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya komited meneruskan kecemerlangan organisasi serta memperkukuh integriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul.

Pengarah SPRM Putrajaya baharu, Mohd Shahril Che Saad berkata, ini bagi memastikan momentum kecemerlangan yang dibina sebelum ini diteruskan menerusi semangat kerja berpasukan dan sokongan seluruh warga SPRM Putrajaya.

“Kepercayaan yang diberikan oleh Pengurusan Tertinggi SPRM untuk menerajui SPRM Putrajaya akan digalas dengan penuh tanggungjawab demi memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan secara profesional dan berintegriti.

“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan untuk memimpin SPRM Putrajaya dan berharap seluruh warga kerja dapat terus memberikan sokongan padu dalam memastikan kecemerlangan organisasi ini dipertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Nota Serah Tugas Pengarah SPRM Putrajaya yang disaksikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Sementara itu, bekas Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi berharap budaya kerja berpasukan yang menjadi kekuatan utama organisasi itu dapat terus dipelihara dan diperkukuhkan di bawah kepimpinan baharu.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga SPRM Putrajaya supaya terus memberikan komitmen dan kerjasama penuh kepada KPKPj Mohd Shahril dalam meneruskan agenda memperkasakan SPRM.

Untuk rekod, Mohd Shahril dilantik sebagai Pengarah SPRM Putrajaya berkuat kuasa 8 Mei lalu menggantikan Azizul yang kini bertukar sebagai Pengarah SPRM Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast