MELAKA – Seorang lelaki cedera kaki kanan selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir empat meter ketika cuba menyelamatkan seekor kucing di belakang rumahnya di Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun dipercayai terpijak penutup longkang konkrit sebelum terjatuh ketika cuba mendapatkan kucing di kawasan semak berhampiran bukit belakang rumahnya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dan Balai Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat jam 10.58 pagi.

Gambar – Ihsan JBPM Melaka
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa masih berada di dalam longkang dan operasi menyelamat segera dijalankan menggunakan teknik hauling bersama peralatan sked stretcher bagi membawa mangsa naik ke permukaan.
“Mangsa dipercayai menunggu hampir 30 minit dalam longkang berkedalaman kira-kira empat meter sebelum disedari orang awam berhampiran.
“Difahamkan, mangsa terjatuh ketika cuba menyelamatkan kucing daripada cuaca ketika itu yang hampir hujan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, lelaki itu berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















