Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bercakap pada media berkenaan Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 Zon Tengah (POLYCC) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 15 MEI 2026.

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu dilihat berdasarkan kerangka sistem pendidikan sedia ada serta syarat kelayakan standard negara, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan keperluan sistem pendidikan negara dan bukan bertujuan mengetepikan mana-mana pihak.

“Isu UEC saya telah pun sebutkan pagi tadi, malah sebentar tadi Ketua Pengarah (KPT) telah pun memberikan penjelasan tentang keputusan kerajaan itu.

“Saya harap penjelasan yang diberikan oleh Ketua Pengarah tentang apa yang sebenarnya telah pun menjelaskan.

“Tidak timbul dari segi soal mengetepikan atau memberikan pengiktirafan (UEC),” katanya kepada pemberita pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bergambar bersama penerima Watikah Pelantikan Duta AI Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda Madani 2026 Zon Tengah (POLYCC) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 15 MEI 2026.

Beliau turut memaklumkan isu tersebut melibatkan kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan KPT bagi memastikan kelestarian serta kedaulatan sistem pendidikan kebangsaan terus terpelihara.

Zambry berharap penjelasan yang diberikan dapat memperjelaskan keadaan dan memberi kefahaman lebih baik kepada semua pihak.

“Tapi apa yang disebutkan adalah berdasarkan kepada keperluan, berdasarkan kepada sistem kita yang sedia ada seperti SPM.

“Saya harap ia dapat memberikan gambaran yang lebih jelas berdasarkan kepada sistem yang telah pun ada dalam pihak KPT. Sebab ia melibatkan kedua-dua kementerian iaitu KPM dan juga KPT,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast