KUALA LUMPUR – Keputusan berkaitan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bukan keputusan seorang menteri secara individu, apatah lagi keputusan UMNO semata-mata.
Exco Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi datang daripada UMNO, segala keputusan dasar pendidikan negara perlu melalui proses kelulusan Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dipersetujui secara bersama oleh kerajaan.
Lebih penting, katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, ramai sengaja menutup fakta bahawa UEC sahaja masih tidak diiktiraf secara automatik untuk semua kemasukan IPTA.
“Syarat asas tetap wujud iaitu PERLU ada kredit Bahasa Melayu, perlu lulus Sejarah, dan hanya program tertentu sahaja dibuka berdasarkan syarat merit universiti.
“Malah untuk kebanyakan program kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain, syarat akademik tetap ketat dan tertakluk kepada keputusan senat universiti,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Sehubungan itu, tambah Nurulhidayah, naratif kononnya `UEC kini bebas masuk IPTA tanpa syarat’ adalah tidak tepat dan bersifat manipulatif politik.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga membuka ruang kepada lepasan tahfiz dan aliran lain untuk melanjutkan pengajian.
Jelasnya, ini menunjukkan pendekatan pendidikan negara hari ini lebih bersifat inklusif tanpa menghapuskan identiti nasional dan syarat asas negara seperti Bahasa Melayu serta Sejarah.
“Jangan kerana kebencian politik, semua perkara mahu dijadikan bahan membakar sentimen kaum dan memfitnah parti tertentu.
“Kalau mahu marah, marahlah dengan fakta. Kalau mahu berpolitik, biarlah dengan ilmu. Bukan membina persepsi seolah-olah satu parti boleh meluluskan dasar negara sesuka hati tanpa melalui Kabinet Kerajaan.
“Faham struktur kerajaan dahulu. Barulah adil dalam menilai sesuatu isu,” katanya. – MalaysiaGazette
















