KUALA LUMPUR – Di sebalik tekanan harga hartanah yang kian menghimpit, Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) mencadangkan satu revolusi dalam pemilikan kediaman melalui model ‘Pangsapuri Dua Kunci’ sebagai solusi realistik bagi rakyat bandar.
Sebelum ini, model yang dianggap sebagai produk mewah kini digesa diubah suai menjadi kategori mampu milik bagi membantu pemilik rumah menjana pendapatan sampingan sekali gus meringankan beban bayaran pinjaman bulanan.
Ketua Penyelaras REACH, Datuk Iskandar Abdul Samad menjelaskan, keunikan unit dua kunci ini iaitu satu hak milik dengan dua ruang kediaman berasingan dan membolehkan pemilik mengamalkan strategi ekonomi yang fleksibel.
“Model ini membolehkan pemilik mendiami satu bahagian dan menyewakan satu lagi bahagian tanpa mengganggu privasi masing-masing.
“Pendapatan sewa ini secara langsung membantu membayar ansuran bank dan meringankan kos sara hidup,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Iskandar, pasangan muda atau golongan bujang boleh bermula dengan mendiami unit kecil atau studio dan menyewakan unit utama yang lebih besar untuk aliran tunai yang lebih tinggi.
“Sebaliknya, apabila keluarga membesar, mereka boleh berpindah ke unit utama dan menyewakan unit kecil tersebut,” katanya.
Selain itu, Iskandar mendesak institusi kewangan supaya lebih progresif dengan memasukkan potensi pendapatan sewaan sebagai sebahagian daripada penilaian gaji pemohon.
“Sebagai contoh jika pemohon bergaji RM3,000 dan anggaran sewa unit kedua adalah RM1,000, kelayakan pinjaman sepatutnya dikira atas pendapatan RM4,000.
“Ini akan meningkatkan peluang golongan berpendapatan rendah (B40 dan M40) untuk memiliki aset sendiri di kawasan bandar yang kompetitif,” katanya.
Iskandar yang juga bekas Exco Perumahan Selangor mendedahkan, pasaran unit dua kunci sedia ada masih gagal mencapai sasaran rakyat marhaen kerana harga yang mencecah RM400,000 hingga RM900,000 seunit.
“Cabaran sekarang adalah menghasilkan versi mampu milik untuk mereka yang memerlukan, bukannya untuk spekulator yang mengejar keuntungan semata-mata,” tegasnya.
Beliau menambah, sudah tiba masanya kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan pemaju swasta bekerjasama merangka projek perintis perumahan mampu milik dua kunci.
“Ia bagi memastikan rakyat tidak sekadar ‘menyewa seumur hidup’, sebaliknya mampu memiliki aset bagi membantu ekonomi keluarga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















