Fahmi Fadzil ketika meninjau persiapan Konvensyen Pakatan Harapan 2026.

JOHOR BAHRU – Kira-kira 5,000 ahli daripada tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH) dijangka menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini esok.

Pengarah Konvensyen Pakatan Harapan 2026, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP seluruh negara dijangka hadir termasuk Sabah, Sarawak dan selain dari Semenanjung.

“Konvensyen PH dijangka bermula seawal pukul 7.30 pagi esok dengan sesi pendaftaran ahli terdiri daripada sebelum acara pertama dimulakan sekitar pukul 8.30 pagi menerusi sesi podcast bersama sayap Wanita dan Pemuda PH.

“Program kemudian diteruskan dengan sesi perbahasan bermula pukul 9.30 pagi hingga sekitar 12.30 tengah hari atau 1 tengah hari, bergantung kepada perjalanan perbahasan.

“Persidangan kemudian disambung semula pada pukul 2 petang dengan ucapan pimpinan utama parti komponen termasuk DAP, Amanah dan PKR sebelum diakhiri amanat Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ketua Penerangan PKR meninjau persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Jelas Fahmi lagi, sesi perbahasan akan melibatkan wakil setiap negeri selain Ketua Menteri dan Menteri Besar dari negeri dipimpin PH yang dijangka membawa isu, pengalaman serta pandangan berkaitan pentadbiran negeri masing-masing.

“Amanat yang akan disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyentuh hala tuju Pakatan Harapan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka selain persiapan mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16.

“Tempoh matang tiga tahun Parlimen sudah berlalu dan kemungkinan paling akhir PRU berlangsung adalah hujung 2027. Jadi dalam tempoh sekitar setahun setengah ini memang kita akan berdepan PRU Ke-16,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast