Antara pelbagai jenis bahagian hidupan liar bernilai RM550,000 dirampas di Tuaran, Sabah. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang bekas renjer hutan menyimpan rangka dan pelbagai bahagian haiwan hidupan liar bernilai RM550,000 terbongkar dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Wokok Batangan Batu 3, Jalan Timbok, Tuaran, Sabah, hari ini.

Serbuan sekitar jam 7.15 pagi itu dilaksanakan oleh sepasukan polis dari Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/ PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dalam serbuan itu seorang lelaki Kadasan Dusun berusia 60 tahun ditahan bersama rampasan pelbagai jenis bahagian haiwan hidupan liar yang dilindungi.

“Antara barangan yang dirampas membabitkan 55 pasang tanduk rusa, (3) batang sumbu badak, seekor bangkai ular sawa, (6) bangkai kulit ular sawa, (1) tengkorak burung enggang serta empat tulang, dua gigi dan empat gading gajah.

“Turut dirampas empat unit disyaki tanduk gajah, (2) tengkorak babi hutan, (3) pasang tanduk tambadau, (1) tengkorak beruang, (1) tengkorak gajah, (2) hempedu beruang, 330 keping disyaki sisik tenggiling, (2) pasang disyaki taring babi hutan dan (6) pasang disyaki tanduk kijang.

“Semakan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM589,230 manakala nilai sebenar sitaan direkodkan RM550,100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara pelbagai jenis bahagian hidupan liar bernilai RM550,000 dirampas di Tuaran, Sabah. Foto PDRM

 

Tambah beliau, soal siasatan mendapati suspek memperoleh bahagian haiwan berkenaan dengan membeli daripada penduduk kampung di kawasan pendalaman Sabah, selain mendapatkan mana-mana bahagian haiwan yang ditemui untuk dijadikan koleksi peribadi.

“Malah aktiviti pengumpulan bahagian hasil haiwan yang dilindungi bermula semasa suspek berkhidmat sebagai renjer hutan sejak tahun 1986 dan bersara pilihan pada 2019 kerana masalah kesihatan.

“Berikutan itu, tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran manakala bersama barangan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat JHL Sabah untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast