Fahmi Fadzil meninjau persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang dijangka dibincangkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di sini esok.

Pengarah Konvensyen Pakatan Harapan 2026, Datuk Fahmi Fadzil berkata, konvensyen tersebut akan menentukan hala tuju kerjasama untuk pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).

Pengarah Komunikasi PH itu berkata, PH berharap akan terus berusaha mempertahan kestabilan politik termasuk hubungan dengan BN demi menjaga kepentingan rakyat.

“Maka sudah pasti pada waktu ini kita akan berusaha untuk pastikan hubungan di Persekutuan itu kekal utuh sebagai Kerajaan Perpaduan.

“Banyak yang masih perlu kita laksanakan dan kita tahu pada waktu ini negara berdepan dengan krisis bekalan global dan sudah pasti kestabilan politik di Persekutuan itu sangat penting.

“Alhamdulillah kalau kita lihat apa yang berlaku di Negeri Sembilan akhirnya UMNO Negeri Sembilan kekal menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun ada beza pandangan dalam beberapa perkara, tapi telah berjaya diuruskan dengan tertib, tersusun dan tidak menjejaskan dari segi pentadbiran,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninjau persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Fahmi berkata, usaha tersebut akan diperkukuh di peringkat Persekutuan seperti yang sudah ditandatangani sewaktu pembentukan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

Hari ini, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan parti itu akan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menteri Besar Johor itu berkata, keputusan tersebut diputuskan selepas mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast