JASIN – Melaka menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan sistem QR Tagging bagi haiwan ternakan sebagai langkah memperkukuh kawalan ternakan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya akibat haiwan berkeliaran.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif berkenaan membuktikan sektor penternakan kini bergerak seiring revolusi digital dan teknologi pintar, bukan lagi dianggap industri tradisional.
Menurut beliau, sistem yang diperkenalkan menerusi Undang-Undang Kecil (UKK) Pelesenan Haiwan Ternakan PBT 2026 itu bagi memastikan setiap haiwan ternakan mempunyai identiti digital seperti IC atau kad pengenalan diri.

Jelasnya, data itu termasuk mempunyai maklumat pemilik, lokasi ternakan, rekod kesihatan serta pergerakan haiwan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Kerajaan negeri tidak mahu lagi kaedah pengurusan ternakan dibuat secara lama sehingga pemilik gagal mengawal pergerakan haiwan ternakan mereka yang akhirnya mengundang banyak kemalangan jalan raya termasuk kes maut.
“Kita bukanlah mahu menghukum atau menganiaya penternak, tetapi supaya mereka lebih bertanggungjawab bukan sahaja untuk keuntungan, malah demi keselamatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran QR Tagging Haiwan Ternakan Negeri Melaka di Pejabat Pembangunan Pertanian Melaka di Semujuk, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Timbalannya, Low Chee Leong serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, lebih 32,000 ekor lembu pedaging, lembu tenusu dan kerbau kini diusahakan penternak di seluruh negeri.
“Sejak tahun 2023, lebih 50 aduan berkaitan haiwan ternakan berkeliaran diterima selain sebanyak 835 kemalangan jalan raya direkodkan membabitkan haiwan ternakan.
“Melalui QR tagging ini, kita boleh kesan pemilik ternakan dengan cepat dan tepat. Jika berlaku kehilangan atau penyeludupan haiwan, data boleh disemak terus menerusi sistem pangkalan data yang dibangunkan kerajaan negeri.
“Malah pengumpulan data ini membolehkan kerajaan mengawal selia jumlah ternakan dalam negeri secara lebih terancang bagi menjamin keterjaminan makanan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memulakan fasa pertama pemasangan QR tagging di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek membabitkan 800 ekor lembu.
Tambahnya, pemasangan QR tagging diberikan secara percuma sepanjang tahun ini sebelum bayaran RM5 seekor dikenakan bermula 2027.
“Kita sudah menyediakan peruntukan RM300,000 dan tiada had ditetapkan untuk pemasangan percuma ini selagi masih ada peruntukan.
“Melaka menjadi negeri perintis dan saya berharap sistem ini akan dijadikan rujukan di peringkat kebangsaan dalam usaha memperkemas pengurusan ternakan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















