JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas rugi RM537,201 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud dalam media sosial, Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, seorang wanita tempatan yang berusia 48 tahun itu mendakwa menjadi mangsa sebelum membuat laporan polis kelmarin.
“Kejadian bermula apabila mangsa melihat satu iklan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam tempoh singkat ketika melayari Facebook.
“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa kemudiannya menekan pautan yang disediakan sebelum berurusan dengan suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan janji manis sindiket berkenaan tmelakukan 12 transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM537,201 bermula 5 Mac hingga 8 Mei lalu.
Mohd Sohaimi berkata, helah sindiket itu mula terbongkar apabila mangsa diminta untuk membuat bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan wang keuntungan pelaburan berkenaan.
Namun katanya, mangsa gagal berbuat demikian dan menyedari dirinya ditipu selepas usaha untuk mendapatkan semula wang modal pelaburannya menemui jalan buntu.
Jelas beliau, kes kini disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Siasatan terperinci juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ sekiranya ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pemilik akaun yang terlibat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan wang yang terlalu tinggi dan tidak munasabah.
“Orang awam diminta sentiasa berhati-hati dan membuat semakan terperinci dengan sumber serta agensi sah sebelum melakukan sebarang transaksi pembayaran. Jika ada pelaburan yang meragukan, laporkan segera kepada pihak berkuasa,” katanya.- MalaysiaGazette
















