Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita S. Khan

KUALA LUMPUR –Keputusan membuka laluan kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bakal menjadi ancaman terhadap sistem pendidikan nasional yang dibina berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Bahasa Melayu dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati) Bibi Sunita S. Khan berkata, justeru sebarang usaha ke arah itu harus ditolak dan tidak boleh diterima.

“UEC bukan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan Malaysia, ia dikendalikan Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bagi pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

“Mengapa sistem yang berada di luar arus pendidikan nasional mahu diberikan laluan ke institusi pendidikan awam milik negara?

“Tindakan membuka laluan kepada UEC ke IPTA sebagai satu malapetaka kepada sistem pendidikan nasional,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta SMPC atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Bibi Sunita juga menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk pencerobohan secara perlahan tetapi berbahaya terhadap sistem pendidikan nasional.

“Hari ini dibuka atas alasan program tertentu, esok mungkin diperluaskan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya meruntuhkan prinsip asas sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi tunjang perpaduan negara,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan rasional kerajaan membuka peluang kepada sistem pendidikan luar sedangkan pelajar aliran kebangsaan masih berdepan persaingan sengit untuk memasuki IPTA.

“IPTA dibina menggunakan dana rakyat Malaysia dan seharusnya mengutamakan pelajar yang melalui sistem pendidikan kebangsaan sejak awal persekolahan.

“Memberi kelebihan kepada sistem luar tanpa asas kesetaraan jelas tidak adil kepada jutaan pelajar aliran kebangsaan yang berjuang dalam sistem negara sendiri,” katanya.

Selain itu, beliau mempersoalkan sama ada kandungan silibus, sistem penilaian dan struktur pendidikan UEC benar-benar setara dengan sistem pendidikan kebangsaan.

Dalam kenyataan sama, pertubuhan itu turut menyelar mana-mana pihak yang didakwa sanggup mempertaruhkan masa depan pendidikan negara demi kepentingan politik dan tekanan pihak tertentu.

“Kami menyelar sekerasnya mana-mana pemimpin politik dan pembuat dasar yang sanggup menggadaikan masa depan pendidikan negara demi kepentingan politik dan tekanan pihak tertentu.

“Pendidikan negara bukan barang dagangan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast