Peserta International Kempadang Ultralight Jigging Challenge Vol. 5 bergambar sebelum memulakan pertandingan.

KUANTAN – Acara International Kempadang Ultralight Jigging Challenge (IKUJC) Vol. 5 anjuran Persatuan Memancing Rekreasi Darul Makmur dengan kerjasama Tourism Pahang terus membuktikan potensinya sebagai antara acara sukan memancing laut yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Program yang berlangsung di Pantai Kempadang, di sini hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 60 peserta termasuk lapan peserta dari Singapura dan empat peserta dari Jepun.

Pertandingan memancing bermula seawal jam 8 pagi hingga 4 petang dengan peserta berentap dalam kategori ultralight jigging yang semakin popular dalam kalangan penggemar sukan memancing.

Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Tourism Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi pada jam 8 pagi tadi.

“Antara kategori dipertandingkan ialah Kategori Ikan Pelagic (Terberat), Kategori Haruan Tasik, Kategori Ikan Terpanjang, Kategori Ikan Bersisik, Kategori Tekong Terbaik serta King of IKUJC selain cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada peserta.

“Penganjuran IKUJC Vol. 5 bukan sahaja memperlihatkan potensi besar negeri Pahang sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi, malah menjadi platform terbaik dalam mempromosikan Pantai Kempadang ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Para peserta International Kempadang Ultralight Jigging Challenge Vol. 5 bersedia memulakan pertandingan di Pantai Kempadang, Kuantan

Jelasnya, penyertaan pemancing dari Singapura dan Jepun membuktikan acara berasaskan komuniti seperti ini mampu menarik perhatian pemancing luar negara selain memberi impak positif kepada ekonomi setempat dan industri pelancongan negeri.

Acara itu turut mendapat sokongan pelbagai penaja dan rakan strategik termasuk Tourism Malaysia, Salteez, Ikanz Clothing, Bait’x Fishing, Senses Fishing International, Relix Nusantara, Garmin Aeco Marine Electronic, Eupro Malaysia dan Xzoga.

Nor Zahira berkata, acara seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan industri pelancongan berasaskan komuniti dan aktiviti rekreasi di Negeri Pahang selaras usaha mempergiat promosi pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. – MalaysiqGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast