Laporan polis yang dibuat tiga NGO tiga NGO di IPD Ampang, hari ini.
Laporan polis yang dibuat tiga NGO tiga NGO di IPD Ampang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis susulan dakwaan penglibatan dana asing yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

NGO terbabit ialah Pembela Tanah Air (PETA), Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Yayasan Masih Ada Yang Sayang (MAYS) yang mendakwa pihaknya bimbang aliran dana luar boleh mempengaruhi sistem politik negara.

Jurucakap ketiga-tiga NGO berkenaan, Daing Mohamad Daing Makati berkata, laporan polis dibuat selepas Rafizi mengumumkan pengambilalihan sebuah parti politik baharu.

“Kita bimbang jika parti pimpinan Rafizi ini ditubuhkan dengan pembiayaan dana asing akan memberi ancaman yang tidak terduga dalam sistem politik negara kerana pastinya, kalau ada calon parti Rafizi yang menang dalam PRU-16, ia mungkin akan terpengaruh dengan pemberi dana asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang bersama wakil PETA, Redzwan Abu Samah dan wakil Pekemas, Sharizan Ramli.

Jumaat lalu, Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) turut membuat laporan polis berhubung video tular yang mengaitkan Rafizi dengan dakwaan pengaliran dana asing melebihi RM1.5 juta daripada organisasi luar negara melalui sebuah proksi tempatan.

Menurut kenyataan SekPur, nama Rafizi didakwa disebut sebagai individu yang menggunakan dana terbabit bagi menggerakkan aktiviti tertentu termasuk kempen di media sosial dan demonstrasi jalanan.

“Dana tersebut didakwa digunakan untuk menggerakkan naratif radikal di media sosial dan demonstrasi jalanan atas nama demokrasi serta hak asasi manusia. Tindakan itu dipercayai mempunyai agenda tertentu,” katanya.

Terdahulu, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party (MUP).

Pengumuman mengenai hala tuju politik baharu kedua-dua pemimpin itu dibuat dalam satu majlis khas di ibu negara hari ini, termasuk simbolik penyerahan parti kepada kepimpinan baharu yang bakal diterajui Rafizi dan Nik Nazmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast