JOHOR BAHRU – Cubaan melabel keputusan Barisan Nasional (BN) Johor bersedia bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu ‘pengkhianatan’ adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat.
Setiausaha BN Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, realiti politik Johor tidak sama dengan konteks Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Kerajaan Negeri Johor hari ini dibentuk hasil mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 diterajui oleh BN dan semua Exco Kerajaan Negeri adalah daripada BN.
“Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di Johor bukan sebahagian daripada pentadbiran kerajaan. Mereka memainkan peranan semak dan imbang di dewan negeri dan peranan itu tetap dihormati.
“Maka di mana letaknya pengkhianatan apabila BN mahu mempertahankan mandat rakyat, kekuatan sendiri dan rekod pentadbiran yang telah dibuktikan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Justeru kata Abdul Halim, BN Johor tidak mengkhianati sesiapa.
“Dalam demokrasi, bertanding bukan pengkhianatan kerana yang menentukan akhirnya ialah rakyat Johor,” katanya.
Hari ini Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, pengumuman BN Johor bertanding di semua 56 kerusi di negeri itu merupakan satu penghinaan terhadap maruah PH.
Menurut pemimpin DAP itu, pengumuman yang dibuat sehari sebelum Konvensyen PH 2026 jelas membuktikan bahawa mereka dikhianati parti itu.
Selain itu menerusi Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di sini hari ini, beberapa pemimpin utamanya ketika berucap turut melemparkan tuduhan pengkhianatan terhadap BN Johor.- MalaysiaGazette

















Khianat? BN bertanding solo dlm PRN..menang 40 kerusi Dan bentuk kerajaan..khianat mana plak tu? Lain lah masa PRN sebelum ni, BN bertanding bersama2 PH..atau BN tu anggota PH..bodoh punya Ramkarpal..