SERI KEMBANGAN – Seramai 149 pembeli rumah Prestige Residence di Lestari Perdana di sini menuntut penjelasan pemaju apabila mendakwa unit kediaman yang dibeli mereka memiliki perbezaan harga dan skim yang tidak didedahkan sebelum pembelian dilakukan.
Salah seorang pembeli, Nur Elyawati Norhan, 32, berkata, semasa proses pembelian dijalankan pada 2021, dia hanya dimaklumkan bahawa unit-unit di Prestige Residence ditawarkan kepada pasaran terbuka dengan harga RM420,000.
Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diberikan kepadanya pada ketika itu, tiada sebarang penjelasan, hebahan atau pendedahan dibuat berhubung kewujudan mana-mana skim pembelian lain bagi unit-unit di projek tersebut.
“Bagaimanapun sekitar bulan Jun 2025, dia dan pembeli lain mula mendapat tahu melalui media sosial termasuk platform TikTok bahawa terdapat unit sama di Prestige Residence didakwa ditawarkan di bawah skim Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dengan harga RM290,000.
“Malah, kami juga dimaklumkan bahawa terdapat dakwaan berkaitan penawaran di bawah skim Rumah Selangorku di mana telah menimbulkan persoalan dan kebimbangan dalam kalangan pembeli kerana maklumat berkaitan skim-skim tersebut tidak pernah dimaklumkan kepada kami sewaktu proses pembelian dijalankan,” pada sidang media di pejabat peguam yang mewakili pembeli iaitu Tham, Goh & Partners di sini hari ini.
Prestige Residence siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu dan ketika ini, sebahagian pembeli sudah mula mendiami unit masing-masing secara berperingkat.

Mengulas lanjut, Nur Elyawati menambah, susulan itu, pada Jun tahun lalu, seramai 149 pembeli unit di Prestige Residence telah mendapatkan nasihat guaman dan mengemukakan Surat Tuntutan kepada pihak pemaju iaitu Utuh Aspirasi Sdn. Bhd. bagi mendapatkan penjelasan rasmi berhubung isu tersebut.
Menurutnya, melalui Surat Tuntutan berkenaan, pembeli turut menyatakan hasrat untuk menyelesaikan perkara ini secara baik dan profesional termasuk dengan mengadakan pertemuan atau sesi perbincangan bersama pihak pemaju bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta mencari jalan penyelesaian.
“Sejak itu, beberapa siri surat-menyurat telah bertukar antara peguam kami dan peguam pihak pemaju. Namun sehingga kini, kami berpendapat masih belum terdapat sebarang tindakan yang konkrit atau penyelesaian yang dapat merungkai isu yang dibangkitkan oleh para pembeli.
“Sehubungan dengan itu, sidang media ini diadakan bagi memperjelaskan isu yang dihadapi oleh para pembeli unit Prestige Residence kepada pihak awam.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, kami ingin menegaskan bahawa tujuan sidang media ini bukanlah untuk mencemarkan nama baik atau reputasi mana-mana pihak,” katanya.
Salah seorang lagi pembeli yang hanya dikenali Nurul memberitahu, para pembeli memohon agar pihak pemaju mengadakan sesi dialog bersama demi mencapai suatu penyelesaian yang adil, telus dan harmoni untuk semua pihak.
“Para pembeli berharap agar perkara ini dapat diselesaikan secara profesional dan konstruktif demi kepentingan bersama kerana ia akan membabit jualan semula unit rumah itu yang memiliki dua harga yang berbeza di mana akan menimbulkan masalah pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

















